Wednesday, 12 October 2011

Thailand dahagakan perkhidmatan 3G

SEJAK kebelakangan ini, semakin ramai warga urban Thailand menjadikan telefon pintar BlackBerry dan iPhone sebagai salah satu aksesori yang perlu dimiliki mereka.
Meskipun, telefon pintar menjadi kegilaan negara berkenaan, rangkaian internet mudah alih masih berdepan kesukaran dalam menawarkan perkhidmatan lebih pantas kepada pelanggan-pelanggan di negara Gajah Putih itu.
Selepas sedekad teknologi komunikasi generasi ketiga (3G) dilancarkan di Jepun, perkhidmatan 3G masih belum dapat dinikmati sepenuhnya rakyat negara Thailand sedangkan negara jiran mereka Laos sudah mula memperkenalkan teknologi 4G yang lebih pantas.
Selain Myanmar yang dikuasai tentera, Thailand merupakan negara di Asia Tenggara masih tidak menggunakan perkhidmatan 3G sepenuhnya. Teknologi 3G banyak memberi manfaat apabila membolehkan pengguna telefon mudah alih melayari internet dan memuat turun muzik serta video melalui telefon mudah alih.
"Saya telah membeli telefon ini kira-kira tiga tahun lalu kerana menyangka dapat menggunakan 3G tetapi, ia mengambil masa tiga tahun untuk menikmati perkhidmatan tersebut," kata Tiabtawan Limjittrakorn, 25, yang menetap di Bangkok.
Negara Kemboja turut mempunyai rangkaian 3G sejak tahun 2006 lagi, ia sekali gus membolehkan pengguna mudah alih mengakses kandungan dalam talian dengan lebih pantas berbanding jiran mereka Thailand.
Pada tahun lalu, mahkamah Thailand memberhentikan bidaan lesen rangkaian 3G pada saat-saat akhir disebabkan syarikat gergasi milik kerajaan, CAT, membantah bahawa Suruhanjaya Telekomunikasi Negara tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan bidaan.
CAT dan sebuah lagi syarikat milik kerajaan, TOT mempunyai hak menguntungkan bagi pemberian konsesi untuk perkhidmatan generasi kedua dan berdepan kerugian dalam pendapatan sekirannya pengendali-pengendali memperoleh lesen 3G dan bertukar kepada teknologi baharu itu.
Terdapat beberapa kawasan yang mendapat liputan terhad apabila tiga pengendali telekomunikasi utama Thailand iaitu Advanced Info Service (AIS), Dtac dan True mengetepikan isu lesen dengan menaik taraf kelajuan rangkaian penghantaran data, membina tiang-tiang komunikasi serta menyediakan rangkaian 3G secara percuma.

No comments: