Wednesday, 12 October 2011

Kawalan keselamatan diperketat pada aksi Kelantan-Terengganu


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mempertingkat tahap kawalan keselamatan sebagai langkah untuk mengelak berlakunya sebarang kejadian buruk ketika pertemuan suku akhir kedua antara Kelantan dengan Terengganu di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, malam esok.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan khusus dengan pihak keselamatan untuk memastikan keseluruhan perlawanan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang dikhuatiri boleh menjejaskan aksi kedua-dua pasukan.
Menurutnya, pertemuan kedua-dua pasukan ini merupakan perlawanan yang sengit dan dijangka akan menarik lebih ramai penyokong untuk hadir menyaksikan aksi tersebut.
“Kawalan pintu masuk akan diperketatkan dengan kerjasama pihak keselamatan yang akan membuat pemeriksaan rapi untuk memastikan penyokong yang hadir ke stadium tidak membawa masuk barangan larangan seperti mercun dan bunga api yang boleh mengganggu serta mencederakan orang lain.
“Selain itu, anggota keselamatan yang berpakaian biasa akan ditempatkan di dalam kawasan stadium sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. Untuk mengelakkan berlakunya kesesakan pula, Kafa akan membuka pintu masuk stadium seawal pukul 6.30 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, pihaknya berharap para penyokong setia TheRed Warriors dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada anggota keselamatan untuk memastikan tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mencemarkan perlawanan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, sebanyak 20,000 keping tiket akan dijual pada pagi Jumaat ini dengan harga RM30 bagi tempat duduk berbumbung (Astaka) dan RM15 untuk tempat duduk terbuka.
“Saya nasihatkan kepada para penyokong Kelantan supaya datang awal untuk mendapatkan tiket-tiket perlawanan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter-kaunter jualan.
“Para penyokong juga dinasihatkan supaya membeli tiket di kaunter jualan bagi mengelakkan mereka membeli dengan harga yang mahal dari pihak yang ingin mengambil kesempatan atas permintaan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlam Lazim menasihatkan semua penyokong supaya mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak stadium dan memberikan kerjasama kepada pihak keselamatan bagi memastikan suasana perlawanan berjalan dengan lancar.
“Pihak kami akan bertindak tegas kepada yang engkar.”

No comments: